Friday, August 13, 2010

Sg. Chilling, Kuala Kubu Bharu

Destinasi air terjun yang harus dikunjungi oleh setiap orang terutamanya bagi penggemar air terjun. Berdekatan dengan Kg. Pertak iaitu sebuah kawasan perkampungan orang asli dan tidak jauh dari Empangan Selangor, Sg. Chilling pasti menjanjikan pemandangan yang menakjubkan dan pengalaman yang menarik. Eksplorasi kami kali ini, menjejaki air terjun Sg. Chilling, antara air terjun yang tercantik di Selangor. Air terjun Sg. Chilling mempunyai 3 peringkat air terjun yang ada keistimewaan dan kecantikannya yang tersendiri. Memang mempesonakan melihat kekuatan deruman air mengalir, air kolam yang sangat menyamankan dan pemandangan yang cukup indah.

Eksplorasi kami dianggotai oleh 33 rakan-rakan sepejabat kami, Paisley & Petra. Sedikit kelainan mengajak rakan-rakan sepejabat, sekurang-kurangnya dapat melepaskan penat jerih 5 hari bekerja walaupun ramai di antara mereka yang tak pernah ke sini dan kurang biasa dengan aktiviti adventure seperti ini. Tapi kerana inginkan cabaran dan kelainan percutian hujung minggu, ramai yang nampak bersungguh dan teruja. Tak ketinggalan dua orang peserta kecil molek kami yang memang tough. Kecil-kecil cilipadi budak-budak ni.

Sg. Chilling adalah di bawah jagaan Santuari Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan beberapa orang renjer ditempatkan di sana untuk mengawasi aktiviti pengunjung. Beberapa peraturan perlu dipatuhi untuk memelihara alam sekitar dan ikan-ikan. Walaupun ikan-ikan tak segan silu berenang di kaki tapi jangan harap dapat dipancing. Di sini aktiviti memancing atau menangkap ikan sama sekali dilarang atau anda didenda.


Treking ke air terjun mengambil masa hampir 45 minit bermula dari jambatan gantung di kawasan perkhemahan dan perlu merentasi sungai sebanyak 5 kali hingga sampai ke air terjun.

Sepanjang perjalanan, masing-masing tak lepas peluang untuk bergambar sampai ada juga yang juga yang hampir tercelup camera ke dalam sungai kerana terlalu leka mendapatkan sudut-sudut menarik. Tapi thanx to the cameraman! Akhirnya kami tiba di air terjun yang pertama. Terpegun seketika menyaksikan kecantikannya. Hati melonjak tak sabar nak berendam. Tapi masing-masing mengisi perut dulu selepas penat meredah hutan. Selepas melapik perut, terus saja terjun ke kolam. Memang best dan puas! Penat berjalan di hutan berbayar dengan kepuasan berendam air terjun yang sejuk dan nyaman. Hilang semua perkara yang meresahkan fikiran.

Pada yang mahukan lebih cabaran, pendakian diteruskan ke air terjun yang kedua dan ketiga yang memakan masa 10 hingga 15 minit sahaja. Air terjun kedua merupakan yang terbesar dan tertinggi, tetapi malangnya ia hanya untuk dilihat tetapi bukan untuk dicuba. Nampak cantik tetapi membahayakan kerana arus air yang cukup kuat. Tiada siapa juga dapat masuk ke dalam kolam air terjun kedua malah tiada jalan masuk ke sana sekalipun kecuali menggunakan tali. But dont ever ever underestimate nature, pasti padah akan mengundang. Cukuplah sekadar melihat dan mengambil gambar sebagai kenangan. Kami teruskan perjalanan ke air terjun ketiga. Excited sangat menyeberang sungai, hingga ada yang tercicir maggi dari beg. Air terjun ketiga tak kurang hebatnya dengan pemandangan yang cukup indah. Kolam di sini lebih besar dan lebih dalam. Oleh itu, sentiada berwaspada dan jangan terlalu leka berenang kerana arus yang sangat kuat.

Puas berenang, berendam, menyelam, berehat dan berkelah di dalam "aircond" semulajadi, kami bergerak pulang jam 2 petang. Kepuasan dan keseronokan tak dapat digambarkan oleh kata-kata dan pengalaman yang pasti tak dapat dilupakan. Sebelum sempat sampai ke campsite, ada pula terputus sandle gara-gara menggunakan sandle yang terlalu "cantik" untuk ke hutan. Mujurlah ada hero yang sanggup berkaki ayam membenarkan kasut crocsnya dipinjam. Alhamdulillah, semuanya selamat. Yang pasti keindahan Sg. Chilling harus dikekalkan sampai bila-bila. Jadi explorelah Sg. Chilling dan rasailah pengalamannya.